Dalam kesibukkan kita untuk membuat persiapan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi dan ditambah dengan saki baki Ramadhan yang masih tinggal tidak kurang beberapa hari lagi, adakah pernah terdetik di hati kita untuk bertanya sama ada Ramadhan yang telah kita lalui pada tahun ini telah benar-benar mendidik jiwa kita untuk menghadapi 11 bulan yang akan mendatang.
Pernahkah kita tertanya apakah Ramadhan kita telah diterima dan segala dosa-dosa kita telah diampun oleh Allah s.w.t. Dalam pada itu apakah saudaraku sekalian masih mengingati tiga doa yang diaminkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W yang telah didoakan oleh Jibrail A.S.
Ketika Nabi S.A.W menaiki tiga anak tangga mimbar baginda berhenti di setiap anak tangga dan mengucapkan amin di ketiga-tiga anak tangga tersebut. Para sahabat lalu tertanya-tanya apakah sebenarnya yang telah diaminkan oleh Rasulullah S.A.W. Hal ini telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah katanya :
"Nabi S.A.W menaiki mimbar, kemudian baginda berkata: amin, amin, amin. Ditanya kepada baginda: "Wahai Rasulullah, tuan menaiki mimbar dan mengucapkan amin, amin, amin?" Baginda S.A.W menjawab: "Jibril A.S datang kepadaku, dan berkata: "Sesiapa yang berada dalam bulan Ramadhan, lalu Allah tidak mengampunkan dosanya, dia akan dimasukkan ke dalam Neraka dan akan dijauhkannya, katakan (wahai Muhammad) amin," Lalu aku (Nabi SAW) pun menyebut "amin".
Jibril berkata lagi: "Wahai Muhammad, sesiapa yang memiliki dua orang tuanya atau salah seorang mereka, namun dia tidak berbuat kepada mereka berdua, dia mati, dia akan dimasukkan ke dalam Neraka, dan Allah akan menjauhkannya, katalah amin." Lalu aku pun berkata: "Amin".
Berkata Jibril lagi: "Sesiapa yang mendengar namamu disebut, tetapi dia tidak berselawat kepadamu, dia mati, dia akan dimasukkan ke dalam Neraka, dan Allah akan menjauhkanya, katalah amin." Lalu aku pun menyebut: "Amin."
Salah satu doa yang diaminkan ialah berkenaan sesiapa yang tidak merebut peluang untuk mendapat keampunan Allah S.W.T pada bulan Ramadhan maka dia antara orang yang akan rugi kerana akan dimasukkan ke dalam Neraka Allah S.W.T.
Apakah kita di antara golongan manusia yang telah diberikan peluang untuk berada di dalam bulan Ramadhan yang penuh barakah ini termasuk di dalam doa yang diaminkan oleh baginda S.A.W.
Oleh itu saudaraku sekalian ingatlah doa yang telah diaminkan oleh Rasullulah s.a.w. ini dan rebutlah peluang yang masih berbaki, tidak berapa hari ini untuk mencari keampunan Allah S.W.T. Raya, raya juga, tapi jangan lupa untuk mencari peluang yang masih tinggal. Takut-takut inilah Ramadhan yang terakhir buat kita.
No comments:
Post a Comment